Tanaman padi


Tanaman padi

Posted by: admin In: Padi| pertanian

Tanaman padi memerlukan sinaran matahari, suhu dan jumlah hujan (18-40oC dan 1240 mm/tahun) yang cukup dan memerlukan keadaan air bertakung. Oleh itu, tanah-tanah berstruktur halus seperti lempung, lempung berkelodak, lom lempung atau lempung berpasir adalah sesuai.
Terdapat dua jenis padi iaitu padi tradisional (>140 hari peringkat matang) dan padi varieti baru (<135 hari peringkat matang). Dalam tempoh 1972-1998 terdapat 25 varieti padi baru yang telah diperkenalkan untuk penanaman dua kali setahun di Malaysia. Padi varieti baru mempunyai potensi penghasilan yang tinggi tetapi bermasalah daripada segi mutu dan kurang ketahanan terhadap perosak dan penyakit. Manakala varieti padi tradisional pula amat peka terhadap fotokala, bertempoh matang panjang, pokok tinggi serta mudah rebah dan kurang gerakbalas terhadap baja. Walau bagaimanapun, varieti ini mempunyai keistimewaan dari segi citarasanya yang sedap.
Penggunaan biji benih yang berkualiti merupakan satu langkah penting dalam pakej penanaman padi kerana ia dapat menjamin pengeluaran hasil yang tinggi. Disyorkan menggunakan biji benih berkualiti dalam kategori biji benih padi sah kerana telah menepati Malaysian Standard MS 469-1993.
Padi mesti dituai seelok padi masak. Kelewatan menuai boleh menyebabkan kekurangan hasil kerana pokok-pokok padi akan rebah, biji-biji padi lerai dan juga kerosakan oleh musuh-musuh dan penyakit-penyakit. Biasanya padi elok dituai dalam masa 35 hari selepas 50% dari pokok-pokok mengeluarkan tangkai-tangkai padi.
Biasanya padi dituai dengan jentuai (combine harvester). Kemudian biji-biji padi dileraikan dengan cara membanting tangkai-tangkainya ke dalam tong pembanting. Hanya di kawasan yang menanam padi secara kecil-kecilan padi dituai dengan ‘ketam’ padi. Terdapat juga mesin-mesin penuai lengkap yang kecil dan ringan iaitu ‘mini combine’ yang juga boleh menuai, membanting dan membersihkan hasil padi sekaligus.